Friday, January 1, 2010

SEJARAH SK METHODIST (ACS) KLANG

ASAL USUL

Dengan secara rasmi, pihak British telah campurtangan dalam hal ehwal politik Negeri Selangor Pada tahun 1874 dengan perlantikan Mr. J.G Davidson sebagai Residen British yang pertama. Penguasaan British dari segi politik dan ekonomi di Negeri Selangor mempunyai pengaruh yang kuat terutamanya dikalangan tauke-tauke Cina di Klang.

Pada tahun 1892, pengaruh ini dapat dilihat melalui usaha golongan tauke Cina yang berhasrat untuk menyediakan pendidikan Inggeris yang baik bagi anak-anak mereka. Pada ketika itu mereka berkemampuan untuk menghantar sekurang-kurangnya 14 orang murid lelaki menghadiri sekolah biasa.

Masalah utama yang dihadapi ialah mendapatkan tempat mengajar yang sesuai serta mendapatkan seorang guru yang berkelayakan. Tauke-tauke ini sanggup mengeluarkan kira-kira $30.00 hingga $40.00 pound sebulan untuk menyediakan pendidikan anak-anak mereka.

Dalam keadaan ini, mereka mempunyai dua kemungkinan untuk dijadikan tempat mengajar iaitu sebagai sekolah. Satu daripadanya ialah Bilik Bacaan Klang yang sudah tidak digunakan lagi dan satu lagi ialah rumah terbiar penghulu Mohid, Penghulu Mukim Klang. Pegawai daerah Klang pada ketika itu, Mr. Walter W. Skeat, mempunyai matlamat untuk memberikan pendidikan yang lebih baik, termasuk pengajaran bahasa Inggeris. Oleh itu, beliau telah bersusah payah mencari bantuan kewangan untuk menjayakan cita-cita penubuhan sekolah ini. Beliau telah melawat pertubuhan-pertubuhan saudagar Cina atau kongsi-kongsi di Klang dan cuba mempengaruhi saudagar-saudagar Cina tempatan supaya membantu bagi menjayakan penubuhan sekolah ini.

Malangnya jumlah wang yang dijanjikan tidak mencukupi untuk memulakan sebuah sekolah. Dalam situasi ini, Mr. Walter W. Skeat telah menghantar surat kepada kapitan-kapitan Cina. Straits Trading Company dan Tauke Lok Yew, seorang dermawan serta ahli Maljis Negeri Selangor. Tujuan beliau adalah untuk meminta sokongan mereka terhadap cadangan penubuhan sekolah ini. Kesemua mereka menunjukkan minat dan memberikan dan memberikan sumbangan mereka. Di antara mereka yang benar-benar memberikan sokongan ialah Tauke Lok Yew. Beliau menyumbangkan sejumlah wang yang besar bagi membolehkan sebuah sekolah dimulakan.

Penghulu Mohid membenarkan rumahnya yang terbiar digunakan sebagai sebuah sekolah dan kerja-kerja pembaikan pun dimulakan. Sekolah ini bermula dengan 14 orang murid lelaki dan seorang guru yang berpengalaman. Semasa Sir William Hood Treacher, Residen Negeri Selangor melawat Bandar Klang, kesempatan diambil untuk meminta beliau merasmikan pembukaan sekolah ini dengan rasminya. Dengan ini bermulalah sekolah aliran Inggeris yang pertama di Negeri Selangor.


SEJARAH SRK METHODIST (ACS), KLANG

Sebuah sekolah yang memberikan pendidikan Inggeris pada tahun 1893 dan dirasmikan pada 10 Mac 1893 seperti mana yang dikehendaki oleh saudagar-saudagar di Klang.

Sekolah ini dipindahkan ke “Methodist Episcopal Mission” pada 1915 dan dinamakan Anglo-Chinese School. Ia didirikan berhampiran dengan perhentian bas di Jalan Rembau. Bangunan ini kemudiannya terbakar dijilat api.

Pada tahun 1921, sekolah ini berpindah ke kawasan Sekolah Menengah Methodist (ACS) sekarang ini. Sebuah bangunan yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan dirasmikan oleh Residen Selangor Encik Oliver Marks. Selepas Perang Dunia II, sekolah ini dibuka semula pada bulan Februari 1946.

Berdasarkan Penyata Razak 1956, maka ACS Klang telah dipisahkan kepada sekolah menengah dan sekolah rendah pada tahun 1957 dengan menjalankan pentadbiran masing-masing. Pada tahun 1958, mendiang Encik Ng Moh Say yang mula berkhidmat di ACS Klang pada tahun 1926 dan kemudiannya dilantik sebagai Penyelia Bahagian Rendah ketika itu, telah dilantik sebagai Guru Besar yang pertama disekolah ini.

Sekolah rendah ini mempunyai tiga buah bangunan, iaitu sebuah bangunan dengan empat buah bilik (digunakan oleh Tahun 2 dan Tahun 4 sekarang), dengan satu daripadanya menempatkan pejabat sekolah. Bersebelahan bangunan ini terdapat sebuah bangunan yang mempunyai dua buah bilik. Tandas pelajar lelaki Sekolah Menengah ACS sekarang sebenarnya merupakan tapak bangunan ketiga dengan dua buah bilik bagi sekolah rendah sebelum ini. Kedua-dua bangunan ini diperbuat daripada simen, kemudiaannya dirobohkan pada tahun 1959.

Kerja-kerja pembinaan telah dijalankan untuk membina enam buah bilik darjah (digunakan oleh murid-murid Tahun 3 - Tahun 6) pada 1959. Bangunan tersebut siap dibina pada tahun 1960. Majalah sekolah yang pertama telah diterbitkan pada tahun 1959. Keseluruhannya, terdapat 18 kelas dengan seramai 23 orang guru.

Pada bulan Januari, 1961, Encik J.K. Appaduray menggantikan Encik Ng Moh Say sebagai Guru Besar. Jumlah murid yang berdaftar pada masa itu adalah seramai 830 orang. Terdapat 20 kelas, iaitu masing-masing empat kelas Tahun 1 dan 2, Tahun 3 hingga Tahun 6 terdiri daripada tiga kelas setiap satunya. Jumlah tenaga pengajar adalah seramai 27 orang.

Pada tahun 1962, Cik Jessie Proctor, bekas Penolong Kanan Sekolah tersebut dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar. Tenaga pengajar pada masa itu ialah seramai 28 orang dan terdapat 22 buah kelas, iaitu lima kelas Tahun 1, empat kelas bagi Tahun 2 dan Tahun 3 serta Tahun 4, 5 dan 6 mempunyai tiga kelas.

Pada tahun 1964, sekolah ini mempunyai 27 orang guru dan murid yang berdaftar adalah seramai 938 orang. Terdapat 21 kelas satu blok dua tingkat dengan empat buah bilik darjah dan pejabat sekolah yang baru telah siap dibina. Bangunan ini berjaya didirikan hasil sumbangan golongan dermawan.

Pada tahun 1965, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan Anglo Chinese. Pada tahun 1968, peperiksaan penilaian darjah lima yang pertama dijalankan.

1970 an

Pada tahun 1971, Bahasa Kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar untuk beberapa mata pelajaran.

Pada tahun 1972, sebuah bangunan baru siap dibina yang menempatkan dewan ditingkat atas dan kantin ditingkat bawah. Encik Lee Hin Koi, bekas pelajar ACS dan Penolong Kanan Sekolah tersebut menjadi Guru Besar pada 15 September 1972 menggantikan Cik Jessie Proctor yang bersara.

Pada tahun 1973, semua mata pelajaran kecuali Bahasa Inggeris diajar dalam Bahasa Kebangsaan. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist (ACS) pada tahun 1977.

1980 an

Pada tahun 1983, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan untuk semua mata pelajaran di sekolah-sekolah rendah untuk seluruh negara.

Encik David Liew Chin Au telah ditukarkan Guru Besar pada tahun 1985 menggantikan Encik Lee Hin Koi yang bersara pada 1 Disember 1984. Beliau telah membawa beberapa perubahan yang dinamik dan progresif dan beliau bersara pada tahun 1994.

1990 an

Pada 1 November 1994, Encik Tan See Hang telah menjadi Guru Besar yang telah bersara pada tahun 1994. Beliau telah berjaya membawa perubahan yang cemerlang seperti peningkatan keputusan dalam akedemik, sukan dan permainan. Kelas tambahan diadakan untuk murid Tahun 6 pada setiap hari Sabtu dan hari cuti.

Murid-murid dikehendaki memakai tali leher semasa perhimpunan pada hari Isnin dan Jumaat. Kelas Bahasa Ibunda seperti bahasa Tamil dan bahasa Mandarin diadakan selepas waktu persekolahan setiap hari Jumaat.

Beliau juga telah memulakan kelas komputer dan membantu memungut sumber kewangan untuk tabung bangunan baru. Bangunan ini telah siap dibina pada Julai 1999 yang terdiri daripada 2 tingkat dengan 6 bilik darjah.

ALAF BARU

Pada ogos 2000, Puan Yeoh Mee Ee telah menjadi Guru Besar yang baru bagi menggantikan Encik Tan See Hang yang telah bersara wajib. Perubahan besar yang telah dibawa oleh beliau ialah keceriaan pesekitaran ACS telah mula berubah. Kebanyakkan persekitaran ACS telah dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga bagi menceriakan kawasan sekolah. Oleh kerana terlalu cintakan keceriaan, beliau mengambil inisiatif turun padang bagi menanam pokok-pokok bunga itu sendiri.

Dalam pada itu juga, beliau sangat menitik beratkan pencapaian akademik murid-murid. Beliau banyak membantu dalam meningkatkan pencapaian Matematik dengan memberi tunjuk ajar secara langsung kepada murid-murid UPSR yang lemah dalam pelajaran tersebut. Keinginan dan usaha beliau menampakkan hasil apabila pencapaian kelulusan Matematik setiap tahun membanggakan.

Banyak perubahan infrastruktur yang telah dibangunkan sepanjang pentadbiran beliau. Masih banyak lagi perancangan yang masih dalam perbincangan yang akan dilaksanakan bagi memastikan ACS maju dalam segala bidang.

No comments:

Post a Comment